Friday, January 28, 2011

Antara Tak Mahu Dan Tak Boleh

Semalam, 27 Januari 2011 aku menaiki bas dari Tanjung Malim ke Ipoh untuk perjalanan pulang ke kampung kelahiranku Perlis indera kayangan. Perjalanan ke Ipoh lazimnya mengambil masa sehingga dua jam. Selalunya sepanjang perjalanan tersebut aku habiskan masa dengan tidur sahaja. Namun, semalam ada peristiwa yang menarik hatiku dan boleh dijadikan sebagai isu bahasa.

Adalah seorang makcik ini, meminta pemandu bas untuk memberhentikannya di balai polis Ipoh. Namun, bahasa yang digunakan amat kasar dan tidak sedap telinga mendengar. Pemandu bas pula enggan memberhentikan bas kerana telah diarahkan oleh pihak JPJ untuk tidak memberhentikan penumpang dimana-mana melainkan di stesen bas itu sendiri. Jadi, makcik yang mungkin dalam keadaan marah menelefon suaminya dan begini ayat perbualan dia dan suami

" Abah, orang tua ni tak mau berhenti kat balai polis. Jadi abah datang ambil la...."


Pemandu bas yang mendengar perbualan telefon makcik tadi yang sebenarnya agak kuat (tidak tahu samada sengaja dikuatkan suaranya) menjawab juga dengan nada kasar

" Makcik, bukan kami tak mau berhenti tapi tak boleh berhenti. Kalau kena denda Rm 300 makcik nak bayar? Memandai ja cakap tak mau berhenti. Mulut tu jagalah sikit."

Suasana di dalam bas pada ketika itu agak tegang dengan perbalahan diantara makcik dan pemandu bas tersebut. Penumpang lain kebanyakannya hanya mendiamkan diri termasuk diriku dan sangat berminat untuk melihat kesudahan perbalahan ini. Dan dengan nada kesat makcik itu berkata....

" Lepas ni....sumpah aku tak naik bas ni lagi !! "
" Makcik tak naik pun syarikat bas kami tak bankrup" Pemandu bas menjawab dengan disambut hilaian ketawa para penumpang lain.


Situasi ini bagi aku amatlah tidak baiknya. Kerana menunjukkan perbalahan sesama kaum dan agama. Bagi aku kedua-duanya salah. Makcik tersebut salah kerana amat pentingkan diri dalam hal ini. Tidak ada salahnya untuk meminta suaminya datang mengambil di stesen bas kerana jaraknya dari balai polis tersebut tidaklah jauh. Juga, cara makcik tersebut amatlah mengeruhkan keadaan bagaikan  menyalahkan peraturan yang telah ditetapkan. Pemandu bas itu juga salah walaupun dia hanya menurut arahan. Salahnya dia kerana tidak bersikap professional. Dia boleh menggunakan bahasa yang lebih sopan dan mungkin jika itu yang dilakukan emosi makcik tersebut tidaklah setegang itu. Terbukti di sini, rakyat Malaysia tidak ramai yang benar-benar menjaga kesopanan mereka.

Thursday, January 27, 2011

Alang Rentak Seribu..........gambaran teater,budaya dan bahasa

Semalam, Rabu 26 Januari 2011, aku, dan Aidah ke panggung budaya untuk menjalani 'skrip reading" teater Alang Rentak Seribu selepas proses pemilihan pelakon yang telah dijalankan pada isnin lepas. Dan alhamdulilah....aku mendapat tempat di dalam teater ini dengan membawa watak Badariah iaitu seorang wanita kampung yang sangat kuat melatah. Proses 'skrip reading' yang dijalankan ini adalah untuk memahami perjalanan sebenar kisah alang rentak seribu ini......
Watak Alang Khalid 
Bagi aku teater karya sasterawan negara Datuk Syed Alwi ini sangat memaparkan kehidupan sebenar orang Melayu kita baik dari segi budaya, dan bahasa. Teater Alang Rentak Seribu merupakan komedi yang dihasilkan dengan pengertiannya sendiri. Namun, teater ini bukan bicara komedi hanya untuk bergelak ketawa sebaliknya mengetengahkan nada dan bahasa berbicara Melayu dalam pengertian dan sudut yang berbeza. Ia menzahirkan pertembungan antara dua manusia Melayu iaitu dari kampung dan Bandar yang mempunyai perbezaan sikap dan pemikiran.

Poster Alang Rentak Seribu
Siapa kata orang kampung tidak cerdas dan ligat pemikirannya atau bersifat kekampungan? Watak Alang adalah seorang lelaki Melayu yang dibesarkan dalam suasana dekad-dekad awal selepas merdeka. Lelaki yang cukup sederhana penampilannya. Tetapi memiliki kebijaksanaan sendiri ketika berdepan dengan masyarakat sekeliling. Di dalam teater ini diwujudkan watak seorang guru iaitu Cikgu Mahazan. Watak cikgu Mahazan ini bagi aku ialah  signifikannya peranan guru  dalam masyarakat yang mana dia dihormati.
Babak Pak Mokhtar mengamuk
Teater ini berbicara dalam komedi yang mengambil nada kehidupan dan pergaulan masyarakat Melayu sebenarnya. Dialognya agak kasar dan mendalam namun unsur komedinya sangat menarik dan berkesan. Ia memperkatakan mengenai sesuatu yang rutin dan sebahagian daripada hidup harian mereka. Tutur bicaranya adalah kehidupan santai dalam hidup orang Melayu. Lantaran itu komedinya tidak mengejek atau bersifat terlalu sinikal. Komedinya adalah tutur Melayu, tetapi ia disampaikan dengan hemah yang tinggi. Petah bicaranya adalah hakikat bahawa dalam masyarakat yang kampungan dan tertutup daripada pengaruh luar, ia memiliki kebijaksanaan kerana lafaz kata-kata bukan mainan.
Allahyarham Datuk Syed Alwi
Naskhah ini juga mengajak khalayak untuk menyedari hakikat antara kehidupan susila di kampung dengan penerimaan idea moden dari bandar. Di kampung, hidupnya dilingkungi dengan peraturan tersendiri. Ia barangkali tidak praktikal dan dilihat sebagai karut. Tetapi pada masa yang sayama ia sebenarnya menuntut kesabaran dan pemahaman bahawa setiap nilai yang ditolak dan sesuatu idea baru tidak boleh dipaksa untuk dibuang dan diterima

Teater Alang Rentak Seribu yang bakal dipentaskan di Panggung Budaya UPSI pada bulan april kelak wajar ditonton oleh masyarakat Melayu yang suka bergaduh dan berkelahi sesama sendiri. Setiap pertelingkahan biarpun sengit dan menimbulkan pergaduhan akhirnya dapat diselesaikan. Ia menunjukkan bahawa dalam masyarakat itu ia tidak berupaya untuk berdepan dengan sesuatu masalah secara berterusan.

Tuesday, January 25, 2011

Pulang.........Bertemukah Jalannnya??


Malam ini aku berusaha untuk mencari pengakhiran bagi skrip teater yang telah aku hasilkan untuk pertandingan teater UPSI pada semester ini. Semester ini aku cuba menyertai pertandingan teater dibawah fakulti bahasa dengan mempetaruhkan skrip yang aku hasilkan sendiri berjudul PULANG. Rupanya, untuk menghasilkan sebuah skrip teater yang baik bukanlah senang lebih-lebih lagi dengan penggunaan bahasanya yang perlu dijaga. 


Teater duniaku
Aku telah ditegur akan penggunaan bahasa yang agak berterabur dan tidak banyak unsur analogi yang dimasukkan. Pengakhiran bagi skrip aku ini pula lebih tergantung dan aku ingin hasilkan sebuah cerita yang boleh difahami oleh ramai pihak baik penonton dan juri. Ianya lebih baik daripada sebuah cerita yang tergantung dan memerlukan penonton sendiri memikirkan pengakhirannya. Untuk memilih ayat yang baik bagi menulis pengakhiran yang menarik sangatlah sukar dan bukan boleh dilakukan dalam masa satu sehingga dua jam sahaja. 


Banyak penumpuan yang perlu dilakukan. Aku harus banyak bermain dengan ayat dan falsafah agar dialog yang dipertuturkan watak kelak dapat menambat hati penonton. Mudah-mudahan jalan cerita dan mesej yang aku ingin sampaikan menerusi karya teater ini mampu dihayati oleh pelbagai pihak

Opocot mak kau.....!!

Semalam, Isnin 24 Januari 2011 aku, aidah, abang azri, man dan adik adik aku ke fakulti muzik untuk menyertai pemilihan pelakon untuk teater Alang Rentak Seribu. Bagi aku, ini merupakan satu lagi peluang untuk aku mengembangkan bakat yang ada ini dan memberi pendedahan kepada adik-adik aku kepada dunia teater. Pemilihan teater berjalan baik dengan dimulakan dengan sedikit " stretching" dan latihan penafasan dan vokal. 


Tetapi disini, bukan mengenai pemilihan teater yang ingin aku kongsikan tetapi mengenai tabiat melatah. Ketika proses pemilahan pelakon berjalan, Encik Edy, seorang pensyarah Fakulti seni lakon meminta aku melakonkan watak seorang tua yang melatah. Ya benar aku kadang-kadang memng melatah. Tetapi aku hanya melatah apabila terkejut sahaja dan untuk melakonkan watak wanita melatah tanpa terkejut terlebih dahulu agak menyukarkan. Jadi berlakulah beberapa situasi yang bagi aku sangat kelakar. Apabila seorang sahabat aku meluncur laju dari depan tanpa aku sangka, apa lagi melatahlah aku. 






Tetapi, Encik Edy mahukan yang lebih seperti bersilat ka menyanyi ka. Jadi, si faris menjadi pasangan pelakon untuk meransang aku untuk melatah dan aku buat yang terbaik. Sebenarnya, apa yang aku latahkan pada malam itu bukannya latah tetapi hanya sebagai lakonan. Tetapi, apa yang aku pertuturkan, aku sendiri tidak tahu. Di luar kawalan !! Malu rasanya....


Masyarakat kita terutama kaum Melayu sememangnya
cukup sinonim dengan melatah terutama golongan berumur. Menghibur dan mencuit hati. Mungkin itulah gambaran paling tepat bagi menggambarkan gelagat mereka yang melatah ini. Jika diperhatikan, apabila
seseorang melatah, dia seolah-olah hilang pertimbangan dan lupa seketika perbuatan yang dilakukan. Anehnya, tiada siapa yang akan menjauhkan diri daripada mereka yang melatah malah latah mereka berpanjangan jika terus diusik.


Selain yang sudah berusia dan dianggap nyanyuk, latah juga sering dikaitkan dengan wanita berusia. Hinggakan, sesuatu majlis keraian bagaikan kurang seri tanpa mereka yang melatah ini



Pakar Psikologi, Dr William S Buroughs, menjelaskan latah adalah situasi terkejut melampau (hyperstartling) yang ditemui di Asia Tenggara pada sesetengah bangsa saja dan amnya pada wanita.Bagaimanapun, bukan wanita saja yang dikaitkan dengan melatah, lelaki juga apa kurangnya. Ada juga lelaki yang melatah dan kadang kala latah mereka lebih teruk daripada wanita.

Namun, apakah yang menyebabkan mereka ini melatah? Pakar mempercayai latah adalah satu kebiasaan yang tiada kaitan dengan penyakit tetapi ia dipercayai berkait rapat dengan fungsi sistem saraf pusat, psikologi dan sosial. Malah, ia dipercayai terikat dengan sistem budaya sesuatu masyarakat. Walau pun dengan melatah boleh menceriakan suasana tetapi ia turut memberi kesan kepada si latah tadi. Selain penat dan perlakuan mereka tanpa sedar, mereka juga menjadi bahan ketawa yang kadang kala memualkan diri mereka sendiri.



Hidup Ini Satu Putaran....

Hidup ini satu putaran.....yer benar !! Aku sangat bersetuju. Kadang-kadang kita bergembira diatas kedukaan orang lain dan benda yang sama yang akan berlaku kepada diri kita kelak. Dan malangnya....putaran kehidupan aku kali ni sebenarnya tidak menyenangkan hatiku malah menyebabkan aku tidak senang duduk dan menghadapinya.....

Sebenarnya, ini semua berkaitan persahabatan. Isnin lepas, kelas modal insan dibatalkan jadi aku dan dua sahabatku keluar untuk menikmati sarapan pagi. Jadi aku menanyakan pendapat mereka mengenai masalah diriku ini. Alhamdulilah mereka terbuka hati untuk memberikan pendapat masing-masing. Indahnya bahasa ini apabila kedua-dua mereka memberikan analogi tersendiri dengan mengaitkan masalah aku dengan kasut dan baju.


Kasut contohnya, apabila dibeli kasut yang tidak sesuai dengan saiz kaki kita, apabila tetap dipakai akan menyakitkan kaki kita sendiri. Tapi bagiku, walaupun kasut itu menyakitkan kakiku setiap kali aku memakainya aku tetap akan memakainya sehingga kaki aku sendiri tak mampu menanggungnya atau sehingga aku mahu menukar kasut yang baru. Biar tapak kakiku pecah atau merekah tapi kerana sangat sayangkan kasut tersebut aku harungi juga.





Analogi baju yang diberikan oleh seorang lagi sahabatku juga menarik. Katanya, kita ada sehelai baju yang kita sayang dan suka. Jika baju tu koyak dan kotor adakah kita akan terus memakainya? Dan aku menjawab walaupun baju tu koyak, aku masih lagi boleh menjahit dan menampalnya agar nampak elok kembali. Dan sahabatku menyambung, walaupun baju itu ditampal dan dijahit kembali ia tetap tidak sama seperti ketika ia baru diberi. Kerana kesan tampalan dan jahitan itu masih berbekas dan nampak. Aku terdiam panjang kerana sangat benar kata-katanya itu. Tapi bagi diriku, biarlah baju itu banyak kesan tampalan dan jahitan aku masih rela menyimpannya daripada membuangnya ke tong sampah.

Perbincangan hati ke hati dengan para sahabatku pagi itu sangat membuatkan hati aku tersentuh dan otakku berfikir yang aku sangat perlu untuk tabah mengharungi hidupku yang masih panjang, Alhamdulilah rupanya masih ada para sahabatku yang mahu mendengar dan berkongsi pendapat. Dan bersyukur yang analogi yang mereka gunakan ini menyedarkan aku akan pentingnya sebuah kehidupan

Saturday, January 22, 2011

Selamat Hari Jadi Abang !!

karenah para sahabatku

21 Januari 2011 yang lalu merupakan hari jadi abang azri iaitu seorang yang telah aku anggap sebagai seorang abang ketika berada di UPSI ini. Jadi, aku dan para sahabat yang lain telah merancang untuk memberikannya sebuah parti kejutan. Jadi selepas kelas teater yang memang aku jalankan setiap hari jumaat pada setiap minggu kami ke kedai pizza di hadapan KHAR. Jadi, sama-samalah kami menikmati hidangan pizza di sini. Seronok rupanya apabila menikmati hidangan bersama rakan-rakan dengan suasana yang ceria dan gembira ini. Dan apa yang menarik duduk semeja dengan sahabat-sahabatku yang datang dari negeri yang berbeza dan budaya mengucapkan selamat hari jadi kepada abang Azri dengan cara dan susunan bahasa mereka tersendiri. Ada yang memiilih untuk menggunakan bahasa yang lebih formal dan ada juga yang menggunakan bahasa harian mereka. Jadi disini boleh dilihat mesranya rakyat Malaysia walaupun berbilang budaya dan agama.

Wednesday, January 19, 2011

Mikroteaching......oooo.......mikroteaching

Assalamualaikum.......




Hari ini, 19 Januari 2011 bermulanya sesi pengajaran mikroteaching yang harus aku jalankan sebagai salah satu tugasan bagi kursus EDU aku bagi semester ni. Gementar? Mustahil tiada perasaan gementar itu kerana aku sendiri masih tertanya-tanya apakah sebenarnya bentuk mikroteaching ini. Dan aku sendiri bimbang jika bahan aku tidak menepati kemahiran yang harus aku tampilkan di hadapan pelajar. Setelah diundi, aku diminta untuk menggunakan kemahiran menyoal di hadapan murid dan aku menyediakan bahan mengajarku sendiri. Bagi aku, bahan yang aku sediakan ini biasa sahaja kerana tiada apa yang menarik dengan sajak dan gambar-gambar biasa. Aku memilih tajuk mengenai banduan dan penjara. Aku kaitkan kisah-kisah hidup banduan dengan sajak yang aku jadikan sebagai teks komsas. Disamping itu aku jana minda mereka dengan pelbagai soalan mengenai penjara contohnya seperti penjara tertua di Malaysia dan yang terbesar di Malaysia. Sememangnya, sebagai seorang guru kemahiran menyoal ni amat penting untuk menjadikan seseorang guru itu nampak lebih yakin dan berketrampilan di hadapan murid. Namun, jika mahu dibandingkan cara pengajaranku dengan Fariz, Johnston dan Liza, banyak lagi yang harus aku pertingkatkan. Aku bernasib baik kerana mendapat rakan penilai yang tidak menghentam aku seteruk-teruknya......kerana bagi pendapat aku, persembahan yang dibuat oleh aku petang tadi tidaklah secemerlang mana. Hanya memenuhi kehendak pensyarah dan tiada sebarang keistimewaan.....Namun begitu, banyak aku pelajari dengan komen para sahabat dan pensyarah aku sendiri Encik Razali Ayob dan aku berharap untuk mengubahnya di masa hadapan. Insyaallah........

Tuesday, January 18, 2011

Banduan 650

Hari ini hari kedua aku menulis diari harianku. Agak menarik kerana aku mencatatkan segala perbuatan harianku dalam bentuk begini. Aku tidak ke kelas harini kerana perut aku memulas-mulas sejak semalam lagi. Nak bangun pun tak boleh.....Jadi aku ambil keputusan tidak mahu ke kelas. Risikonya biar aku sendiri yang tanggung. Aku cuba ambil makanan tetapi  nak menelan roti pun aku tak boleh. Sambil-sambil  itu aku buka internet dan cuba selesaikan mana-mana tugasan yang belum diselesaikan lagi. Dan aku tertarik dengan sebuah artikel ni mengenai BANDUAN 650. 



Banduan 650 ni adalah satu-satunya banduan wanita yang ditahan dipenjara Bagram di Afghanistan di mana penjara ini adalah khusus untuk banduan lelaki? Inilah hakikatnya yang dialami oleh banduan 650 yang bernama Dr. Aafia Siddiqui. Beliau diculik pihak FBI Amerika pada 30 Mac 2003 di Pakistan atas tuduhan mempunyai hubungan erat dengan Al-Qaeda di mana sehingga sekarang tiada bukti dapat ditunjukkan oleh pihak FBI tentang hubungan yang dikatakan itu.
Siapa Dr. Aafia Siddiqui? Tiada siapa kenal baik masyarkat Malaysia dan Islam diseluruh dunia dan tiada media di mana-mana kerajaan negara Islam yang ingin mengambil tahu tentang Dr.Aafia ini kerana apa? kerana diri kita ditimpa penyakit wahn dan assobiyah dan otak kita sudah diprogram untuk tidak menganggap umat Islam yang lain sebagai saudara. Buktinya, kita hanya simpati tapi tiada empati.
Dr. Aafia Siddiqui dilahirkan di Pakistan dan menjadi rakyat Amerika merupakan satu-satunya saintis neurologi di dunia yang mempunyai PHD dari Universiti Harvard. Juga mempunyai 144 sijil dan ijazah kehormat dari institusi serata dunia termasuk dari MIT. Beliau juga seorang hafazan al-Quran dan seorang mujahidah. Tiada seorang wanita barat yang setara setanding dengan pendidikan beliau. Beliau diculik bersama 3 orang anak kecilnya selama 5 tahun tanpa khabar berita sehinggalah 4 orang tahanan Bagram yang berjaya melarikan diri mendedahkannya tentang banduan 650 yang tidak ketahui namanya. 
Mereka hanya mengetahui dia adalah seorang wanita Pakistan dan seorang ibu yang dipisahkan dari anak-anaknya dan setiap hari mereka akan mendengar wanita tersebut menjerit akibat diseksa. Seterusnya Yvonne Ridley seorang wartawan Britain mendedahkannya secara besar-besaran di sidang wartawan tentang siapa sebenar banduan 650.
Sejak dari itu seluruh dunia ingin tahu apa yang telah terjadi kepada Dr. Aafia dalam tempoh 5 tahun tersebut dari 2003-2008 dan apa kesalahan beliau dan kenapa tidak dibicarakan. Penipuan Amerika tentang tiadanya banduan wanita di penjara Bagram akhirnya terbongkar. Semasa di dalam tahanan di Bagram beliau diseksa dan dirogol setiap hari dan dinafikan haknya sebagai seorang wanita. Beliau dipaksa menggunakan tandas lelaki dan bilik mandi yang terdedah dan boleh dilihat oleh pengawal-pengawal penjara. Situasi beliau sepanjang penahanan tersebut amat meyedihkan sehingga beliau hilang ingatan. Nasib anak-anaknya selama 5 tahun tersebut juga tidak diketahui oleh sesiapa sehingga sekarang.
Sehingga kini tiada dakwaan tentang kegiatan beliau bersama Al-Qaeda oleh pihak Amerika hanya melainkan dakwaan cubaan membunuh seorang askar Amerika dan FBI semasa di dalam tahanan di Afghanistan. Amat pelik apabila perbicaraan ini dilakukan di Amerika sedangkan kesalahan tersebut dilakukan di Afghnistan.
Juga tiada bukti yang beliau melakukan cubaan bunuh melainkan beliau ditembak di perutnya sesama di dalam tahanan oleh askar Amerika kononnya untuk keselamatan diri.Bukan sahaja Dr.Aafia tetapi ramai lagi wanita Islam yang diculik oleh FBI dan sekutunya tanpa diketahui dan dibicara dan akhirnya kita hanya didedahkan wanita-wanita ini didera secara seksual seperti di penjara Abu Gharib, Iraq. Biarlah Dr. Aafia menjadi pemangkin pembebasan untuk wanita-wanita Islam yang ditindas di penjara-penjara Amerika seluruh dunia.
Tiada apa yang dapat aku sumbangkan melainkan doa dan menyebarkan kisahnya di blog Juga, jangan lupa boikot produk Amerika!! Inilah cara jihad yang mampu kita buat di bumi Malaysia. Allah tidak memandang kesannya tetapi memandang usaha kita. Jika di akhirat nanti Allah bertanya APA yang aku telah lakukan untuk saudara-saudara Islam yang tertindas insya Allah aku mampu menjawabnya. 

Aweeeee.......lorrrrrr.......weeeee............

Hari ni 17 januari 2011. Hari yang biasa-biasa sahaja untuk aku….dua sahabat aku tak berapa sihat jadi mulut ni kuranglah bercakap sikit. Pelajaran hari ni pun biasa-biasa sahaja. Tak ada yang menarik sangat. Cuma yang menariknya ialah pada waktu malamnya. Alhamdulilah aku akhirnya terpilih untuk persembahan Mak Yong di Indonesia. Jadi aku dipanggil untuk ujibakat kali kedua untuk penentuan watak. Rasa gembira kerana dapat mengenali Mak Yong dengan lebih dekat. Dan yang terpilih tu pun bukannya calang-calang orang. Semua ada pengalaman menari dan berlakon. Lebih-lebih lagi Igie la. Dia semua boleh....!! Menari, berlakon, menyanyi. Memang kagumlah dengan bakat yang dia ada. Aku harap aku boleh belajar daripada Igie banyak perkara. Dan diri aku sendiri.....aku bangga dengan pencapaian diri sendiri. Aku cuba lakukan yang terbaik. Aku tahu dengan badan begini agak sukar untuk aku menari tapi aku cuba lakukan yang terbaik dalam lakonan alhamdulilah mendapat pujian daripada instruktor.

Penari Makyung
Apa itu Mak Yong? Makyong  merupakan sejenis tarian Melayu traditional. Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Drama-tari ini dipertontonkan terutamanya di Terengganu , Patani, Kelantan]], Kedah, Perlis serta di Kepulauan Riau - Indonesia.


Tarian Mak Yong


Drama tari Mak Yong ini merupakan sebagai suatu bentuk drama-tari Melayu yang menggabungkan unsur-unsur ritual, lakonan dan tarian yang digayakan, muzik vokal dan instrumental, lagu, cerita dan teks percakapan yang formal dan bersahaja. Mak Yong dipersembahkan sebagai hiburan dan juga sebagai cara perubatan. Mak Yong dipercayai wujud sebelum kedatangan Islam lagi. Ia dipentaskan sebagai pementasan Diraja di bawah naungan Kesultan Kelantan sehingga 1920-an. Dengan itu, tradisi ini dikekalkan dalam bentuk asal tanpa meninggalkan peningkatan yang terdapat di istana seperti pakaian yang berhias cantik.
Persembahan Mak Yong Di Istana

Persembahan Mak Yong biasanya dibuka dengan lagu "Mengadap Rebab" diikuti dengan tarian, lakonan dan muzik. Dalam persembahan tradisi di kampung, ia dilakukan dipanggung terbuka yang berlatarkan daun kelapa. Penonton akan duduk di tiga sisi panggung, sisi yang ke empat dikhaskan bagi orkestra yang terdiri dari pemain rebab, gendang kepala dua dan tetawak. Kebanyakan peranan dilakukan oleh wanita dan ceritanya berasaskan cerita rakyat tradisi dengan watak raja, dewa dan pelawak. Mak Yong di kaitkan dengan upacara di mana pawang cuba menyembuhkan pesakit yang dirasuk melalui nyanyian, tarian bersawai dan menurun


Itulah Mak  Yong serba sedikit yang aku boleh ceritakan. Aku sendiri baru ingin mengenali Mak Yong ini memandangkan aku bukan orang Kelantan jadi mulai sekarang kena belajar-belajarlah kecek kelatenyer......Dialek kelantan itu sendiri pada aku tidaklah susah untuk dituturkan kerana banyak sahabat-sahabatku disini berasal dari negeri Kelantan dan aku mampu belajar daripada mereka. Dan bagi aku, dialek kelantan itu sendiri merupakan sebuah dialek yang sangat menarik, bernada dan bertona lembut untuk didialog  dan dilagukan. Cuma susahnya disini untuk menyebut perkataannya menjadi sebutan asal rakyat kelantan kerana salah sebut akan jadi bunyi seperti masyarakat di selatan Thailan pula. Susah sebenarnya nak belajar Mak Yong ni. Tapi, apapun aku mahu mengenalinya......Mudah-mudahan allah berikan aku kesihatan dan waktu yang baik untuk aku terus belajar mengenai Mak Yong ini. Amin......
 

Blog Template by YummyLolly.com