Saturday, March 19, 2011

Bahasa Mat Rempit

 Mat Rempit merupakan istilah kepada penunggang motosikal yang terlibat dalam perlumbaan haram, biasanya dengan menggunakan moto kapcai atau skuter. Ia merupakan satu gejala sosial remaja di Malaysia sekarang. Minah Rempit pula boleh jadi merupakan seorang pelumba perempuan, atau teman wanita Mat Rempit. Walaupun kebanyakan Mat Rempit sering berlumba, ada juga yang cuma menunggang secara berbahaya di jalan raya. Mat Rempit biasanya berkumpulan dan akan berlumba di tengah-tengah kota pada malam hujung minggu. Mat Rempit juga telah dikaitkan dengan kegiatan gengster, rompak berkumpulan, pergaduhan, kecurian dan buli. Kebanyakan motosikal yang digunakan Mat Rempit tidak memenuhi piawai, ataupun telah diubah suai dengan banyak. Malah ada juga Mat Rempit yang tidak mempunyai lesen sah, tidak membayar cukai jalan dan menaiki motosikal curi. Kini, taman perumahan turut telah ditukar menjadi litar lumba oleh Mat Rempit. Dianggarkan di Malaysia sahaja terdapat kira-kira 200,000 Mat Rempit. Istilah Mat Rempit ini turut digunakan di Singapura dan Indonesia untuk tujuan yang sama.



 Mereka beraksi pada waktu senja , malam atau selepas ibu bapa pulang daripada bekerja. Remaja ini mencuri kunci motosikal atau  memberi alasan membeli barang di kedai berdekatan atau pergi ke pasar malam. Ibu bapa tidak sedar anaknya boleh pergi jauh sehingga ke Kuala Lumpur. Mereka beraksi di celah-celah kereta yang penuh sesak di Kuala Lumpur untuk mendapat perhatian orang ramai. Di Kuala Lumpur 
jalan yang popular ialah Jalan Raja Laut, Jalan Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Bukit Bintang. Kebanyakan Mat Rempit masih lagi bersekolah dan tidak memiliki lesen memandu. Terdapat juga yang telah bekerja samada di sektor awam dan swasta. Mereka bersaing sesama sendiri dan ada kalanya mendapat 'hadiah' berbentuk wang dan gadis bohsia sebagai taruhan. Bagi menambah kelajuan motosikal, karburetor, piston, brek , handle, tayar dan lain-lain diubahsuai. Dianggarkan 70% alat ganti tersebut didapati dari hasil motor curi kerana harganya jauh lebih murah berbanding pasaran.


Istilah atau bahasa yang digunakan Mat Rempit mempunyai persamaan dari segi maksud dengan bahasa utama yang digunakan dalam masyarakat di Malaysia, tetapi diwujudkan bagi melahirkan suatu sub-budaya dalam  membentuk identiti tersendiri dan membezakan diri mereka daripada anggota masyarakat yang lain.    Sebagai contoh, bagi kumpulan Mat Rempit ‘chaw’ bermaksud pergi. Terdapat juga istilah yang membawa maksud yang berlainan daripada maksud sebenar yang difahami dalam masyarakat seperti ‘gegar’. ‘Gegar’ dalam masyarakat umum difahami sebagai suatu keadaan yang bergongcang. Tetapi bagi Mat Rempit ‘gegar’ bermaksud  tindakan membuat kacau-bilau sebagai tanda balas dendam atau tindakan amaran.


Istilah dan bahasa yang digunakan Mat Rempit juga mempunyai maksud yang pelbagai bergantung kepada keadaan atau situasi sesuatu istilah itu digunakan.  Sebagai contoh, istilah ‘barang’ membawa maksud dadah sekiranya topik perbualan adalah berkaitan dadah, namun ‘barang’ adalah alat ganti motor sekiranya Mat Rempit berbincang mengenai motosikal dan sebagainya. Istilah ‘barang’ yang digunakan dalam masyarakat membawa maksud benda.  Walau bagaimanapun, tidak semua istilah dan bahasa yang digunakan oleh satu kumpulan Mat Rempit digunakan atau difahami oleh Mat Rempit yang lain misalnya ‘pondan’ yang bermaksud lelaki berperwatakan wanita.    Istilah lain bagi ‘pondan’ adalah ‘mak nyah’, ‘si lembik’, ‘arbok’ dan ‘lelembut’.   



Perbezaaan istilah ini berlaku disebabkan lokasi tempat tinggal, jenis kumpulan Mat Rempit yang dianggotai, pekerjaan dan tahap keaktifan seseorang Mat Rempit dalam fenomena Mat Rempit. Sekiranya seseorang Mat Rempit itu aktif dalam aktiviti lumba haram dan bekerja sebagai despatch boy misalnya, individu tersebut berkemungkinan besar mampu mendapatkan istilah baru. Istilah atau bahasa yang diguna pakai kumpulan Mat Rempit mempunyai pelbagai kaedah atau gaya penciptaan.  
 
Terdapat perkataan yang menggunakan perkataan asal dalam Bahasa Melayu seperti ‘gegar’, ‘kenduri’, dan ‘panas’; perkataan asal dalam Bahasa Inggeris pula seperti try test, relax dan race; perkataan gabungan di antara Bahasa Melayu dan Bahasa inggeris adalah seperti  ‘line panas’, ‘cuba try test tengok’ dan ‘ada block’; dan terdapat pula bahasa selain Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris seperti ‘bohsia’,  ‘macha’ dan  ‘wusha’.  Istilah dan bahasa yang dicampuraduk dengan pelbagai bahasa seperti Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina dan Bahasa India berstatus sebagai bahasa jalanan. Secara tidak langsung, seseorang Mat Rempit perlu dari semasa ke semasa memperbaharui dan mengemaskini ‘perbendaharaan kata’ atau istilah yang digunakan dalam  kelompok mereka



Mereka ini sanggup cedera parah malah berani mati katak ketika berlumba. Mereka tidak ada perlindungan diri seperti kasut, seluar tebal , lapik lutut, topi keledar mahupun insurans nyawa. Ibu bapa yang mengharapkan dan menyayangi mereka dilupakan begitu sahaja. Di Malaysia, mat rempit ini terdiri daripada remaja Melayu. Begitu bahayanya masalah mat rempit ini kepada negara dan ia harus dihapuskan segera.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com