Saturday, March 19, 2011

Bahasa Rojak Perosak Bahasa



Rasanya isu ini susah untuk cari penghujungnya. Lihat sahajalah pertuturan kita seharian. Tidak sah kalau tidak terpalit sepatah dua bahasa inggeris. Kebanyakan tulisan masyarakat sekarang semuanya dipendek-pendekkan sehingga sukar hendak dibaca. Kalau tidak dipendekkan pun, ejaan-ejaan kalimah tersebut diubah-ubah supaya bunyinya selari dengan gaya percakapan. Tidak cukup dengan pendek, Bahasa Melayu yang sememangnya sudah sedia indah itu dicampur adukkan pula dengan Bahasa Inggeris. Akibatnya, terciptalah bahasa rojak yang kian digunakan secara meluas mutakhir ini terutamanya dalam kalangan generasi muda.

Bahasa Rojak adalah suatu jenis percakapan di Malaysia yang menakrifkan amalan beralih kod (mencampurkan pelbagai bahasa dalam satu pertuturan) yang serupa dengan pijin, Manglish dan Singlish. Walau bagaimanapun, bahasa dasarnya merupakan bahasa MelayuBahasa Rojak digunakan secara meluas terutama di kalangan remaja bandar Malaysia, yang sekaligus membimbangkan orang dewasa tetang penggunaan bahasa Melayu yang betul.


Secara asasnya, aku tidaklah begitu kisah sekiranya yang dipendekkan itu cuma beberapa perkataan sahaja seperti yang menjadi ygseperti menjadi sptsekolah menjadi sek, dan sebagainya yang sudah diketahui umum. Tetapi, jika keseluruhan tulisan dipendek-pendekkan dan dirojakkan bahasanya, perasaan jelak tatkala membaca akan muncul juga. Jika di SMS, dapatlah aku fahami rasionalnya mengapa kalimah-kalimah disingkatkan ejaannya. Jumlah huruf yang dihadkan untuk satu SMS adalah terhad (sekitar 160 karakter), jadi dapatlah aku fahami mengapa ejaan-ejaan itu perlu dipendekkan. Tetapi, jika keadaan terbawa-bawa ke tulisan-tulisan biasa yang tidak mengambil kira jumlah kalimah, aku masih tidak dapat memahami rasionalnya mengapa kalimah tersebut perlu dipendekkan.


Bagi aku, tulisan-tulisan sebegini hanya melambangkan keperibadiaan seseorang yang kurang bertanggungjawab, tidak beradab, tidak teliti, serta tidak menghargai keindahan bahasa. Generasi baru ini seolah-olah sudah tidak sayang akan kemurniaan bahasa ibunda kita. Mungkin ada yang beranggapan bahawa sikap aku terhadap tulisan yang disingkat-singkatkan ini sebagai skema, poyo, perasan bagus, dan sebagainya. Bagi mereka yang beranggapan sedemikian, andalah yang perlu bermuhasabah diri. Walau apapun alasan yang anda berikan, keharmonian bahasa perlulah dipelihara sebaik-baiknya. Memang tidak dapat aku nafikan bahawa tulisan aku sendiri tidaklah sebagus mana, masih terdapat banyak kecacatan, cuma, aku sendiri sentiasa berhati-hati dalam penulisan agar keharmonian bahasa tetap terpelihara – tidak ada singkatan-singkatan ejaan yang menyesakkan dada serta campuran-campuran bahasa dari luar yang menyakitkan jiwa.

Biarpun bahasa Inggeris semakin meningkat penggunaanya , tetapi masyarakat Melayu haruslah tahu bahawa kita boleh membuatkan bahasa Melayu setaraf dengan bahasa Inggeris dan diperingkat antarabangsa. Sikap saling tegur menegur dan bantu membantu dalam usaha memartabatkan bahasa Melayu sangatlah penting dan perlu dilaksanakan sampai bila-bila. Tetapi usaha tersebut haruslah diiringi dengan niat yang iklas. Jangan biarkan bahasa Melayu tidak diketahui oleh masyarakat Melayu itu sendiri

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com