Wednesday, March 23, 2011

Epilog Seorang Penjual


Epilog seorang penjual.....merupakan sebuah drama yang aku dan para sahabat hasilkan bagi memenuhi tuntutan kursus kami sosiolinguistik yang memerlukan kami untuk menghasilkan sebuah video memaparkan kehidupan dan bahasa masyarakat kini. Walaupun video ini tidak sehebat mana hasilnya kerana kami tidak mempunyai sebarang peralatan canggih namun, hasilnya sangat memuaskan. Aku, Aidah, Atul, Jijah, dan Umi melalui hari yang menggembirakan sepanjang pengambaran drama ini. Aku tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan jalan cerita dan aku memilih untuk merakamkan sebuah cerita yang lebih santai dan mudah difahami berbanding kisah yang berat dan susah difahami. Aku juga memahami bahawa sahabatku yang lain mempunyai komitmen yang lain dan aku tidak bebankan mereka dengan sebarang skrip. Kami lakukan pengembaraan secara spontan tanpa bantuan sebarang skrip dan hanya berdasarkan bakat mereka sahaja.

Epilog seorang penjual pada dasarnya memaparkan suka duka hidup seorang penjual bagi mencari rezeki halal di bumi allah ini. Aku pilih jalan cerita ini kerana mudah untuk dipaparkan karenah dan ragam masyarakat menerusi kaca mata seorang penjual. Pelbagai karenah masyarakat yang ditemui termasuk pelbagai cara layanan dan penggunaan bahasa yang digunakan. Hal ini bagi aku merupakan paparan realiti masyarakat yang sebenar samada kita sedar ataupun tidak.


Aku bahagikan watak drama ini mengikut karekter para sahabatku. Aku tidak memberikan tekanan atau meminta lebih daripada apa yang mereka mampu berikan. Umi sendiri aku serlahkan karekternya sebagai warga Malaysia yang bersopan santun dalam berbahasa dan melayan tetamu sama seperti karekter asalnya di luar. Azizah pula aku bina karekter seorang wanita yang mahu mengelak daripada membeli barangan kosmetik dengan berpura-pura sakit. Kebetulan, ketika itu beliau sememangnya mengalami masalah kesihatan dan ini menampakkan mood beliau sebagai wanita yang sedang sakit. Gambar diatas pula jika dilihat sememangnya boleh dibaca perwatakannya dan aku berikan watak ini kepada Atul, sahabatku yang paling berbakat dan aku tahu mampu mencuri pandangan penonton. Aku selitkan unsur komedi pada watak Atul kerana tidak mahu drama ini berlansung dalam keadaan yang serius.


Aku tidak mempunyai masalah dengan para pelakon aku kerana aku mempunyai para sahabat yang semulajadi bakat mereka dan aku tidak mengambil masa yang lama untuk memberi arahan dan meminta yang terbaik dari mereka. Aidah sendiri sebagai seorang penjual cemerlang dengan karekternya. Ayat yang beliau bina ketika spontan juga tersusun dengan baik dan menampakkan karekternya sebagai seorang penjual kosmetik. Aku telah banyak bekerja dengan beliau dan aku yakin dengan bakatnya sebagai seorang pelakon, jadi Aidah di mata aku sangat berjaya sebagai seorang penjual yang teraniaya.


Aku sendiri sebagai seorang penggiat teater mahu mencabar diri sendiri untuk melakonkan pelbagai watak. Kumpulan aku sendiri terdiri daripada lima orang pelajar perempuan dan tiada pelajar lelaki untuk menyerikannya maka aku tawarkan diri untuk menjadi pakcik yang gatal lagi pekak. Melakonkan watak ini tidaklah susah kerana aku pernah berlakon menjadi seorang lelaki sebelum ini dan aku memberikan yang terbaik untuk drama ini. Secara jujurnya, Epilog seorang penjual, sebuah drama pendek yang aku dan para sahabat hasilkan untuk kursus Sosiolinguistik ini merupakan pengalaman yang paling manis pernah aku tempuh. Selain itu, mesej dan pengajaran yang mahu kami sampaikan alhamdulilah diterima oleh penonton. Mereka boleh membandingbezakan perbezaan ragam dan bahasa masyarakat kini yang sememangnya merupakan latar masyarakat kita sekarang

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com