Thursday, March 17, 2011

Fakulti Bahasa? Sterotaip........!!!

Pulang.......naskhah hasil perahan otakku selama sebulan dan juga cubaan pertamaku untuk menjadi seorang pengarah teater berjaya dipentaskan di Panggung Budaya pada 6 Mac lepas sempena Festival Teater UPSI. Bagi aku, produksi Cicit Mak Dara kelolaan aku dan para sahabat memberikan persembahan yang terbaik dan mampu menghiburkan penonton yang datang memberikan sokongan. Ini juga merupakan penyertaan kali pertama produksi Cicit Mak Dara yang aku tubuhkan dibawah Fakulti Bahasa dan sambutan yang diberikan amat baik. Para pelakon aku sendiri memberikan yang terbaik dan impaknya dapat dirasai oleh penonton. Berdasarkan tinjauan aku selepas persembahan, ramai yang mengakui mereka menitiskan air mata apabila melihat klimaks teaterku ini. Jadi, secara keseluruhannya, Pulang bagiku sebuah persembahan yang berjaya. Pelbagai dugaan yang aku dan rakan-rakanku yang lain sebelum teater ini dipentaskan aku tempuhi dengan tabah dan penuh linangan air mata yang membuatkan kami lebih kuat. 



 Namun, apa yang aku ingin utarakan disini ialah bukan kejayaan teater ini tetapi komen juri yang diberikan setelah selesai persembahan teater ini. Secara peribadi, aku sebagai pengarah teater ini bertanggungjawab di atas segalanya yang berlaku di dalam produksi ini dan skrip yang dihasilkan merupakan 100% idea asal aku. Aku juga menerima segala kritikan juri dan aku ambilnya sebagai satu pedoman dan penguat semangat untuk aku terus berkarya. Namun, apa yang membuatkan telingaku sedikit panas adalah apabila juri mempertikaikan penyertaan kami di bawah fakutlti bahasa. Katanya, ayat yang digunakan aku terlalu sterotaip, berbunga-bunga, dibuat-buat dan tidak menggambarkan kehidupan sebenar masyarakat. Ya, mungkin benar.


Ada beberapa babak yang aku formalkan sedikit pemilihan kata dan struktur ayatnya kerana ia merupakan babak monolog dan babak romantik. Bagi aku, retorik yang mahu digunakan adalah tidak sesuai jika menggunakan bahasa harian yang seringkali digunakan oleh masyarakat kini. Juga, bagi aku ayat yang berbunga-bunga sengaja aku gunakan untuk menggambarkan suasana romantik pasangan suami isteri. Bagi babak-babak lain, aku masih balik kepada dunia yang nyata dengan menggunakan bahasa harian masyarakat. Para juri juga, agak sinis apabila mengatakan adakah wakil daripada fakulti bahasa memerlukan ayat yang sebegitu dan  mempersoalkan akan penyusunan ayat di dalam skrip aku yang terlalu teratur dan lebih berpegang kepada hukum bahasa. Kata mereka lagi, adakah mewakili fakulti bahasa memerlukan penggunaan ayat yang sangat sterotaip. Sebelum berlansungnya festival ini, aku terlebih dahulu meminta pandangan Prof Mana Sikana dan Datuk Dr Rosli Saludin akan skrip yang aku hasilkan ini memandangkan aku bertanggungjawab membawa nama fakulti bahasa.



Aku bimbang jika bahasa yang terdapat di dalam skrip ini kucar-kacir dan memburukkan nama fakulti aku sendiri. Aku tidak mahu mulut-mulut jahat bercakap dari belakang "Budak fakulti bahasa, tetapi ayat tunggang langgang". Tetapi, lain pula yang jadi. Menghasilkan sebuah skrip yang betul dari segi struktur ayatnya rupanya tidak dipandang sebagai satu kesenian tetapi dianggap sterotaip oleh pihak lain. Pada pendapat aku sendiri, aku sebenarnya bersetuju dan juga tidak bersetuju pada masa yang sama. Aku bersetuju kerana, penggunaan ayat yang lebih formal sebenarnya menampakkan kekakuan perjalanan cerita tersebut, namun masih boleh diselamatkan dengan mainan emosi para pelakon. Aku juga tidak bersetuju kerana sememangnya tugas aku sebagai pelajar program Pendidikan Bahasa Melayu untuk memartabatkan bahasa aku sendiri dan cuba menggunakannya sebaik mungkin. Namun begitu, aku sangat sukakan kritikan kerana ia mampu menjadikan aku insan yang lebih baik. Aku mahu terus mencuba dan berkarya di masa hadapan. Insyaallah...............

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com