Friday, March 18, 2011

IQRA'.......


Tamadun yang hebat tercipta dari pemimpin dan rakyat yang gemar membaca dan cintakan ilmu' & Mendidik masyarakat membaca samalah seperti mendidik anak anda membaca. Longgokkan bahan bacaan untuk mereka! Aku lupa dari mana kata-kata ini dipetik, tetapi yang pasti ia dari sebuah buku. Masakan tidak, wahyu pertama yang diturunkan Allah kepada Nabi Muhammad untuk umat manusia ialah suruhan membaca. Sudah tentu bahan bacaan adalah mengikut tahap fikiran dan objektif masing-masing. Juga membaca tidak terhad kepada bahan berbentuk tulisan, mungkin boleh dalam bentuk jelmaan objek untuk difikirkan, penaakulan terhadap alam ciptaan Tuhan dan kejadian di sekeliling.



Kita perlu banyak membaca ialah supaya setiap gerak langkah dan tindak tanduk kita dalam menentukan setiap keputusan adalah mengikut logik akal yang munasabah, mengurangkan kadar kesilapan, dan berakhir dengan kebahagiaan dan kepuasan dengan tindakan tersebut. Bukanlah tindakan semberono yang melibatkan hati dan perasaan semata-mata tanpa disusuli dengan akal waras.

Sesetengah daripada kita, kadangkala masih keliru bila akal itu berfungsi dan bila pula hati yang menguasai tindakan. Amat sukar membezakannya. Di dalam ajaran agama, kerapkali kita mendengar ungkapan ' jangan difikirkan lagi tentang itu dan ini', ia sudah termaktub hukum-hakamnya'. Iya kan sahaja tanpa banyak soal. Adakah benar begitu ? Jawapan kepada setiap persoalan akan dapat dijawab bila kita gemar dan mencarimasa untuk membaca. Inilah yang selalu dimiliki oleh orang yang tidak beragama. 


Baiklah, mari kita lihat satu contoh. Penerbitan buku dan kegiatan ilmiah dewasa ini banyak dimonopoli oleh negara-negara bukan islam. McGraw Hill, Oxford Press, Cambridge, Barron's, Harper Business dan ribuan lagi yang lain. Setiap tahun statistik penerbitan buku dari barat jika dibandingkan dengan negara Islam, terlalu jauh bezanya. Bahkan jarang sekali kita mendengar syarikat penerbitan buku dari negara Islam yang tersebar luas. Mengapa ia tidak banyak muncul disebabkan tidak banyak permintaan. Dari siapa? Dari umat islam itu sendiri. Jadi jelas, secara mudah boleh kita katakan kadar membaca dan mencari kebenaran di kalangan umat Islam masih jauh berbanding dengan negara-negara barat maju yang lain.  


Bila tahap membaca ini kurang dan ketinggalan, maka akan wujudlah apa yang dinamakan kelemahan-kelemahan dalam tindakan. Perundangan misalnya, masih lagi kucar-kacir di tangan pemimpin dan pengamal undang-undang negara-negara yang dikatakan Islam. Bila perundangan dan pentadbiran lemah, maka banyaklah ketidakadilan yang berlaku. Korupsi berleluasa, jenayah bertambah dan persekitaran rimas dan tidak memberansangkan.

 Tabiat membaca boleh dibentuk sejak di zaman kanak-kanak. Ibu bapa yang membaca dan menghimpunkan bahan bacaan di rumah secara tidak lansung akan menggalakkan anak-anak membaca. Terlalu  banyak contoh yang boleh dijadikan teladan. Itulah doa dan harapan kami. Melahirkan keluarga yang cintakan ilmu pengetahuan berbanding karut marut yang lain. Berjaya atau tidak, itu urusan lain, yang penting mulakan dari diri dan keluarga sebelum tabiat ini merebak ke dalam masyarakat.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com