Wednesday, March 23, 2011

OKU Lebih Tahu Apa Itu Budi Bahasa



Aku sentiasa melepaskan tekanan di jiwa dengan ke Kuala Lumpur untuk menonton wayang, bermain bowling atau menikmati makanan mahal bersama adikku. Biarkan duit habis asalkan hati aku ini puas dan tenang. Aku tersenyum sendirian mengenangkan satu peristiwa yang bagi aku agak melucukan. Aku dan adikku Zakwan, sangat menggemari makanan Jepun. Ketika kami sedang menikmati makanan Jepun di sebuah restoran Jepun halal di ibu kota, seorang remaja berbangsa cina mendekati kami. Pada mulanya aku ingatkan beliau merupakan seorang jurujual dan mahu menjual sesuatu kepada aku dan Zakwan. Sebaliknya beliau mengeluar sijil OKU.



Saat itu aku baru menyedari yang beliau merupakan seorang remaja bisu dan pekak. Namun, kegigihannya aku kagum kerana mahu berusaha untuk mencari kerja. Cara yang ditunjukkannya juga sopan dan menarik. Walaupun tidak dapat mendengar dan bercakap, bibirnya sentiasa tersenyum dan aku perhatikan juga reaksinya ketika orang tidak mahu membeli. Masih tersenyum dan meneruskan tugasnya. Beliau kemudiannya mengeluarkan sejumlah 'keychain' yang sangat cantik dengan niat untuk menjualnya kepadaku. Niat di hati sememangnya aku ingin menolong dan aku hulurkan sahaja RM5.00 tanpa mengharapkan sebarang barang daripadanya kerana ketika saat itu aku benar-benar ikhlas untuk menolong. 


Tetapi, beliau tetap keras memaksaku untuk memilih salah satu rantai kunci yang dibawanya. Bagi aku, beliau tidak mahu menerima sebarang pemberian tanpa menjual sesuatu. Memandangkan caranya sopan dan senang dilihat aku meminta Zakwan memilih sebuah rantai kunci. Ketika proses pemilihan tersebut, pemuda cina itu menunjukkan sebuah rantai kunci berbentuk hati kepadanya dan menyuruh Zakwan memilihnya untuk aku. Lantas ketika itu juga dia membuat lambang hati dengan isyarat tangan dan kemudian menunjukkan tanda bagus. Aku paham maksudnya lantas aku dan Zakwan ketawa berdekah dekah. Maksudnya disitu, dia menyangkakan kami ini pasangan kekasih dan mencadangkan Zakwan menghadiahkan aku rantai kunci berbentuk hati. Cara beliau bagiku, sangat baik dan menarik bagi menarik banyak pelanggan. Rupanya, orang kurang upaya seperti beliau lebih tahu apa itu budi bahasa berbanding orang yang normal dan dilahirkan sempurna.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com