Wednesday, March 23, 2011

Pantun Melambangkan Budaya Dan Bahasa

Sesungguhnya orang Melayu ini sangat kaya dengan adat dan ketinggian bahasanya. Kalau di utara, sesi pantun memantun untuk tujuan meminang dan merisik ini kurang dijalankan kerana adat ini dilakukan secara terus iaitu lebih bertuju ke niat sebenar kedatangan. Tetapi di negeri-negeri selatan tanah air adat-adat berpantun ini masih dijalankan dan ini dapat aku alami sendiri ketika perkahwinan kakak angkat aku di Negeri Sembilan. Banyak pantun yang dikemukakan dan setiap pantun yang dipertuturkan mempunyai niat dan maksud tersendiri


Niat Datang

Sudah lama langsatnya condong,
Barulah kini batangnya rebah.
Sudah lama niat dikandung,
baru sekarang diizinkan Allah.



Bertanya Apa Hajat

Perahu kolek ke hilir tanjung,
Sarat bermuat tali temali.
Salam tersusun sirih junjung,
Apa hajat sampai kemari?



Menyatakan Hajat Besar

Berapa tinggi pucuk pisang,
Tinggi lagi asap api.
Berapa tinggi Gunung Ledang,
Tinggi lagi harapan hati.



Pantun Merisik

Sudah lama kami ke tasik,
Tali perahu terap belaka.
Sudah lama kami merisik,
Baru kini bertemu muka.

Tinggi-tinggi si matahari,
Anak kerbau mati tertambat.
Sekian lama kami mencari,
Baru sekarang kami mendapat.



Meminang

cantik memanjat pohon ara,
Nampaknya cantik berseri laman.
Besar hajat kami tidak terkira,
Hendak memetik bunga ditaman.







Pantun-pantun ini sememangnya boleh digunakan dalam Majlis-majlis merisik dan meminang. Sememangnya nilai ketinggian pantun terletak kepada bahasanya yang cantik lagi puitis itu. 

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com