Friday, March 18, 2011

Pejuang Bahasa Melayu Sejati !!


Entri aku kali ini aku tujukan khas untuk Prof Emeritus Abdullah Hassan. Saat pertama aku mengetahui aku akan belajar dengannya di bawah kursus Karya Agung semester ini, hatiku melonjak girang. Kerana, aku telah mengenali Prof Abdullah sejak di bangku sekolah lagi dan aku amat mengagumi semangat beliau untuk memperjuangkan bahasa. Menjadi salah seorang pelajarnya sememangnya merupakan satu peluang yang sangat besar dan jarang sekali diperoleh oleh semua orang. Jauh di sudut hati, aku sangat berbangga dan berazam untuk menjadi pelajar yang baik dan cuba memperjuangkan bahasa. Prof Abdullah pada pandangan aku merupakan seorang manusia paling 'simple' di dalam dunia. Beliau sentiasa ringkas dalam berpakaian dan percakapan beliau. Hampir setiap kali ke kelas, beliau akan memakai baju kemeja berwarna putih, dan seluar berwarna kelabu. Jika melihat status yang dipegangnya, aku menggambarkan Prof Abdullah merupakan seorang yang lebih pentingkan imej dan perwatakan, namun sebenarnya aku salah. Prof lebih senang bergaya ringkas dan bersikap sederhana dalam kehidupan.


Pertama kali bersemuka dengannya adalah apabila aku dan sahabatku ke biliknya di Malim Sarjana untuk meminta kelulusannya agar kami dapat mengikuti kursus Karya Agung tersebut. Saat pertama ketika aku memulakan bicara, aku sudah ditegurnya kerana tidak menggunakan bahasa Melayu tinggi dengan baik. Malu seketika aku dibuatnya. Namun, aku masih mahu berusaha kerana hal ini bagus untuk melatih diriku berbahasa di hadapan anak-anak muridku kelak. Bagiku, Prof Abdullah merupakan seorang pejuang bahasa yang asli. Hal ini kerana, beliau bukan sahaja bercakap kosong tetapi benar-benar mahu memartabatkan bahasa. Anak-anak muridnya ini harus bercakap dengannya menggunakan bahasa Melayu yang betul. Pada mulanya aku agak janggal kerana tidak pernah melatih diri dan seringkali menggunakan bahasa pasar dan rojak dalam kehidupan seharian. Beberapa kali juga di dalam kelas, aku ditegur oleh Prof Abdullah akan penggunaan bahasaku yang berterabur. Namun, aku mahu belajar dari kesilapan dan cuba memperbaikinya.


Pada umur melebihi umur seorang guru yang patut pencen, Prof Abdullah masih cekal mengajar para pelajar Upsi. Orang tua lain yang sama umur dengannya kebanyakannya sudah sakit-sakit dan kurang menjalankan aktiviti luar, tetapi Prof Abdullah alhamdulilah dikurniakan kesihatan yang baik dan sentiasa bersemangat untuk memperjuangkan bahasa dan bangsa. Keadaan di dalam kelas Prof Abdullah tidaklah tertekan seperti yang aku bayangkan memandangkan beliau seorang tokoh yang dikenali ramai. Sebaliknya, kelas beliau bersifat santai dan menarik. Apa yang menariknya disini ialah apabila tiada sebarang kedatangan diambil dan tiada juga peperiksaan akhir untuk kursus ini. Para pelajar hanya diminta menghantar tugasan yang diberikan ke Facebook tanpa sebarang tarikh yang ditetapkan (janji hantar). Pada pendapat aku, cara Prof ini sangat baik memandangkan remaja sekarang sangat obses dengan Facebook. Jujurnya, aku tidak menyangka insan seperti Prof ini mahu mendekati remaja dan menggunakan cara yang lebih berkesan untuk melaksanakan P&P. Kebanyakan orang bahasa sepertinya agak buta IT dan tidak mahir menggunakan teknologi tetapi, Prof Abdullah nyata bukan seperti katak di bawah tempurung.


Prof Abdullah bagiku merupakan seorang yang sangat berani dan lantang menyuarakan pendapat. Apa yang tidak kena dimatanya dan tidak sedap didengar telinganya akan disuarakannya berhadapan, walaupun orang yang bercakap itu mempunyai status atau berpangkat tinggi daripada dirinya. Prof Abdullah juga merupakan salah seorang pejuang bahasa yang tidak menyokong kewujudan PPSMI dan membantas keras bersama isterinya Puan Ainon Mohd dan Datuk A. Samad Said. Kuliahnya di dalam kelas juga sentiasa diselitkan kepentingan bahasa Melayu, keagungan bahasa Melayu berbanding bahasa inggeris dan mengapa generasi sekarang harus menjaga bahasa kita sebaik mungkin. Aku hormatkan Prof Abdullah sebagai seorang guru dan sebagai insan yang sangat lantang bersuara. Bagi aku, beliaulah Pejuang Bahasa Melayu Sejati !!!

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com