Wednesday, March 23, 2011

Pelajar Kita Semakin Biadap



Aku melayari You Tube hari ini untuk mencari bahan yang menarik untuk dimuat turun ke blog ini dan aku menjumpai sebuah tajuk yang bagi aku sangat menarik. "Pelajar Gaduh & Bertumbuk Dengan Cikgu..." Ini tajuk yang boleh dicari di laman You Tube. Sebelum melihat video tersebut aku membuat kesimpulan sendiri, mengapa hal ini masih terjadi sedangkan ramai guru-guru kita sudah terlatih dan diajar psikologi di dalam kelas dan cara untuk mengawal murid. Remaja sekarang pula mengapa semakin biadap sedangkan pelbagai kempen yang dilaksanakan untuk menjadikan mereka insan yang lebih cemerlang.

Saat ke 20 aku melihat video ini, aku mengucap panjang mendengar bahasa seorang pelajar dengan gurunya. Bahasa tubuhnya sendiri menunjukkan yang beliau sememangnya tidak menghormati guru tersebut. Pelbagai ayat makian dan kejian yang dikeluarkannya untuk guru beliau. Sebagai seorang pelajar, beliau tidak boleh menjadikan perasaan sebagai medan untuk melepaskan amarah di dalam diri. Guru lelaki tersebut juga salah dalam berbahasa dengan mengeluarkan ayat-ayat yang membangkitkan kemarahan pelajar tersebut. Sebaliknya beliau boleh berdiam diri, atau mengeluarkan kata-kata motivasi atau nasihat berbanding ayat-ayat yang seperti menambah minyak ke dalam api. Bahasa yang dikeluarkan baik pelajar dan guru sangat tidak mencerminkan budaya kita. Kedua-duanya mengeluarkan ayat mengikut perasaan tanpa memikirkan perasaan kedua belah pihak. 

Bagi aku, video ini menampakkan ketidakcekapan seorang guru dan ketidakmatangan seorang pelajar dalam menyelesaikan masalah. Tindakan guru yang berbaju putih itu merupakan tindakan yang baik dengan cuba menyelesaikan masalah manakala guru wanita yang berada di hadapan tidak melakukan apa-apa melainkan memerhatikan pergaduhan ini bagaikan menonton wayang percuma. Namun, selepas menonton video ini semangat aku sebagai seorang bakal guru tidak lentur kerana aku percaya bahawa pelajar tidak perlu diajar dengan rotan, makian dan herdikan malah banyak cara yang lebih efektif untuk digunakan bagi mendidik mereka menjadi insan yang lebih cemerlang. 

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com