Friday, March 18, 2011

Ramai Pemimpin Tidak Bangga Berbahasa Melayu?


"Ramai Pemimpin Tidak Bangga Berbahasa Melayu", yang memetik ucapan Dato' A. Aziz Deraman, mantan Ketua Pengarah DBP dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan Peringkat negeri Terengganu. Ketika mula-mula membaca keratan akhbar yang disiarkan oleh Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan di laman Fb, aku serta-merta teringat akan siaran televisyen di Beijing yang kebetulan baru sahaja aku tonton, dan ada kaitan langsung dengan sikap pemimpin terhadap bahasa negaranya. Stesen televisyen CCTV (News) Beijing pada 12 Oktober 2010 menyiarkan rancangan dialog "Cultural Diversity and Peaceful Integration in Asia". Salah seorang tokoh yang diwawancara ialah mantan Presiden Indonesia, Megawati Sukarno. Walaupun semua pertanyaan dikemukakan dalam bahasa Inggeris, penerangan dan gagasan Megawati tentang pengalaman Indonesia mengintegrasikan kepelbagaian budaya kesemuanya dalam bahasa Melayu (Indonesia). 




Daripada bahasa badan dan reaksi wajah beliau terhadap semua soalan dan daripada kepantasan beliau memberikan respons, jelas bahawa beliau memahami soalan dalam bahasa Inggeris dan aku juga pernah mendengar ucapannya dalam bahasa Inggeris dalam majlis lain. Megawati sebagai negarawan negara Indonesia berusaha memberitahu dunia bahawa bahasa negaranya dapat menjadi wahana pengungkap fikiran-fikiran moden tentang politik, soiologi dan hubungan antarabangsa dan beliau mempunyai rasa bangga yang cukup tinggi kepada bahasa negaranya. Bagi sesetengah orang hal itu remeh, tetapi itulah salah satu caranya untuk memartabatkan bahasa negara, lebih-lebih dalam forum antarabangsa! Tiada rasa rendah diri atau khuatir dikatakan tidak cekap berbahasa Inggeris (sedangkan beliau memang mahir berbahasa Inggeris). 




Yang mengaibkan, di negara kita sendiri ada kalangan yang lebih selesa dan gah berucap dalam bahasa Inggeris walaupun tidak kena dengan tempat dan ketikanya untuk urusan dan majlis peringkat kebangsaan! Kita masih dapat memahami bahawa ada keperluannya untuk mereka berucap dalam bahasa yang dianggap difahami oleh khalayak umum sedunia walaupun pada hakikatnya bukan semua khalayak di dunia hanya memahami 'satu-satunya bahasa' yang dianggap unggul, iaitu bahasa Inggeris; bahasa Perancis, Jerman, Mandarin, Jepun, Swiss dan lain-lain merupakan antara bahasa utama dunia juga. 

Namun, jika dalam acara dan majlis peringkat kebangsaan pun masih lagi sebilangannya mengutamakan bahasa asing, hal ini amat sukar difahami dan diterima, walhal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan takrif "bahasa rasmi" sebagai bahasa yang mesti digunakan untuk semua maksud rasmi pada tiga peringkat pentadbiran negara, iaitu kerajaan persekutuan, kerajaan negeri dan pihak berkuasa awam. Masih jauh aku rasa, untuk kita menyaksikan pemimpin kita berucap dalam bahasa negara dalam majlis atau acara yang bertaraf antarabangsa!

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com