Friday, March 18, 2011

Senyumlah...........

Aku terbaca sebuah artikel yang tidak sempat aku salin untuk dimuatkan ke dalam blog ini. Ia mengenai tentang rakyat Malaysia yang tidak murah dengan senyuman. Masalah susah senyum, kini menjadi perhatian pemerintah Malaysia. Rakyat kita dikatakan sangat perit untuk memberikan senyuman, terutama kepada sesama warga Malaysia sendiri. Kenyataan ini diakui sendiri oleh Datuk Seri Najib Tun Razak.  Untuk membangkitkan masyarakat yang murah dengan senyuman, pemerintah negara terpaksa mengerakkan sebuah kempen yang dikenali sebagai 'Senyum-senyum Malaysia'.


"Rakyat Malaysia lebih banyak memberikan senyuman kepada pelancong daripada kepada sesama rakyat Malaysia sendiri," kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk T Murugiah, Pernyataan beliau adalah berdasarkan sebuah kajian oleh sebuah lembaga penilaian di Sepanyol yang memberikan penilaian Malaysia di tangga ke-26 dalam hal kemurahan senyuman. Kita ketinggalan jauh dengan Indonesia, negara jiran yang dikatakan negara nombor satu paling murah senyuman di dunia. Benarkah kenyataan ini? Pada pendapat aku ada benar dan tidaknya. Jika dilihat sekeliling aku ramai juga sahabat-sahabatku yang sentiasa murah dengan senyuman. Melihatnya sahaja boleh menenangkan jiwa. Namun, masih ada juga yang sangat sukar untuk aku melihatnya tersenyum walaupun ketika situasi yang melucukan. 


Bagi aku, senyum itu sedekah, senyum itu awet muda, senyum itu kemesraan, senyum itu pengikat sahabat, senyum itu penambah kasih, senyum itu pelaris jualan, senyum itu pengiktirafan, senyum juga pemanis wajah, senyum menambahkan kecantikan dan yang pastinya senyuman itu membawa kebaikan. Senyum juga perlu dimasukkan roh ikhlas, senyum ikhlas adalah senyum kerana Allah, senyum kerana menyahut perintah Allah dan Rasul. Orang Islam disuruh senyum dan dilarang sombong dan sombong diri.


Senyum mesra datang dari hati yang baik, tulus dan ikhlas, senyum rekaan ialah senyuman pura-pura dan kejahatan. Orang yang mindanya terbuka dan bersangka baik akan melahirkan senyuman yang ikhlas, orang yang bahagia senang mengukirkan senyuman, senyumannya kelihatan manis dan indah. Orang yang sedang menghadapi tekanan jiwa sukar melahirkan senyuman, senyumannya kelihatan kurang indah dan tawar serta kurang menarik. Senyumlah selalu bila bertemu kawan, senyum tidak menggunakan banyak tenaga tetapi ianya mempunyai banyak kebaikan, disenangi anak isteri, rakan taulan, jiran tetangga dan sudah tentulah yang paling istimewa dikasihi Allah.





Senyum itu sedekah. Sedekah dapat pahala. Maka senyum itu pun dapat pahala. Betul tak? Aku pun kalau boleh nak senyum kepada semua orang. Masalahnya satu:
Penerima senyuman harus berfikiran terbuka. Penerima senyuman juga harus faham bahawa senyuman yang diterima itu adalah sedekah daripada pemberi senyuman! Jangan pula dianggap orang yang memberi senyuman itu menyindir atau berniat nak mengurat. Kita kena belajar dari peminta sedekah. Bila orang tersenyum kepada kita, ucapkan "TERIMA KASIH" atau "ALHAMDULILLAH". Bila kita ucap sedemikian, pemberi senyuman dapat gandaan pahala. Kita sebagai penerima senyuman yang mendorong pemberian pahala (oleh Tuhan) kepada pemberi senyuman pun menerima pahala. Cuba fikirkan bersama. Di bawah, aku senaraikan perkataan senyum dalam pelbagai bahasa di dunia. Mungkin anda boleh gunakan untuk membuatkan orang lain tersenyum. 

waratte - bahasa Jepun

Sonrie - bahasa Sepanyol 
sourire- bahasa Perancis

lächeln - bahasa German
ibtasem - bahasa Arab

sorridere - bahasa Itali

Ngiti - bahasa Tagalog




No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com