Friday, February 4, 2011

Singgit Ke Dua??



Rabu lepas, 2 Febuari 2011 aku dan adik-adik ke pasar malam untuk membeli makanan untuk malam. Suasana di pasar malam seperti biasa, meriah dan kecoh dengan suara-suara peniaga untuk melariskan hasil jualan mereka. Sekiranya pulang ke Perlis, peluang untuk ke pasar malam sememangnya tidak akan aku lepaskan kerana sukakan suasana meriah sebegitu.


Ketika sibuk mencari juadah untuk makanan malam nanti, aku berhenti di sebuah gerai menjual sosej dan bebola daging. Maka, terdengarlah perbualan di antara seorang pemuda dengan peniaga di situ.


" Kak, berapa ya sosej ni? (sambil tangan menunjukkan ke arah sosej tersebut) "


" Yang sosej keju ini seringgit, yang sosej lada hitam itu pula seringgit dua....."


Maka si pemuda itu pun mengambil sosej berperisa lada hitam sebanyak dua cucuk. Aku yang sedang menunggu air minumanku untuk siap, memerhatikan sahaja gelagat mereka. Apabila si pemuda itu ingin membayar, maka dia menghulurkan not kertas seringgit. Kemudiannya terjadi pula dialog sebegini......


" Belum cukup lagi ni dik.....sepatutnya dua ringgit empat puluh sen"


" Eh, tadi akak cakap yang ini seringgit dua.....jadi saya bagilah seringgit"




Rupanya, si pemuda itu menyangkakan harga sosej tersebut adalah Rm1.00 untuk dua cucuk sosej. Niat dihati, aku sememangnya mahu ketawa berdekah-dekah akan kelurusan pemuda tersebut tetapi mengenangkan reaksinya yang turut ketawa selepas insiden tersebut aku hanya mampu tersenyum. 


Apa yang aku perolehi daripada insiden ini ialah, belajar menggunakan bahasa dengan betul supaya tidak mengelirukan orang lain. Juga, belajar mendengar dan memahami bahasa dengan betul supaya tidak terjadi situasi yang memalukan diri sendiri atau salah paham dengan orang lain. 

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com