Wednesday, February 16, 2011

Budi Bahasa Budaya Kita

Kalau di sebut akan budi bahasa yang masih ada dalam diri masing-masing, masih ramai yang akan termenung jauh atau tidak mempedulikan soalan tersebut. Hal ini kerana, manusia sekarang tidak mempedulikan akan ketinggian budi di dalam diri masing-masing. Namun, sebenarnya masih ada individu yang mengambil cakna akan hal ini dan menjadikannya sebagai satu peribadi diri yang mulia



Aku berpeluang mengalami sendiri bagaimana dengan hanya menggunakan budi dan bahasa yang baik membawa pulangan yang baik juga kepada diri individu tersebut. Isnin lalu, aku ke pekan Tanjung Malim untuk membeli beberapa barangan keperluan. Oleh kerana malas menunggu bas yang disediakan oleh pihak UPSI yang sentiasa lambat dan memakan masa yang lama untuk menunggunya, aku mengambil keputusan untuk mengambil teksi

Pemandu teksi di Malaysia seringkali dikenali dengan sikap kurang ajar dan sentiasa mahu mengambil kesempatan terhadap para penumpang. Namun, lain dengan Uncle Sam yang menjadi pemandu teksi aku untuk hari itu. Beliau merupakan seorang yang sangat bersopan santun. Sikap beliau yang sopan itu boleh dikenalpasti apabila beliau sendiri turun untuk membukakan aku pintu dan menjemput aku naik ke teksinya dengan penuh hormat. Beliau juga menggunakan kata ganti nama yang betul dengan memanggil aku 'cik' berbeza dengan pemandu teksi lain yang lebih gemar menggunakan kata ganti diri seperti 'adik', 'kakak' dan sebagainya.

Uncle Sam seorang yang sangat ramah. Perjalananku ke pekan penuh dengan penceritaannya sepanjang menjadi pemandu teksi. Kata-kata yang digunakannya juga baik walaupun beliau merupakan seorang yang berbangsa india. Namun, beliau mampu bertutur dalam bahasa Melayu dengan sangat baik dan menggunakan struktur ayat yang betul. Apa yang menarik tentang diri beliau ialah, beliau sentiasa mengukirkan senyuman dan memuji penumpangnya dengan penuh hormat. Bagi aku, walaupun ini kedengaran seperti salah satu cara untuk mendapatkan pelanggan, cara yang beliau gunakan ini membuatkan penumpang berasa selamat dan selesa untuk menggunakan khidmat teksi beliau. Jelaslah disini, bahawa budi bahasa sangat penting dalam kehidupan sebagai seorang manusia. 

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com