Thursday, January 27, 2011

Alang Rentak Seribu..........gambaran teater,budaya dan bahasa

Semalam, Rabu 26 Januari 2011, aku, dan Aidah ke panggung budaya untuk menjalani 'skrip reading" teater Alang Rentak Seribu selepas proses pemilihan pelakon yang telah dijalankan pada isnin lepas. Dan alhamdulilah....aku mendapat tempat di dalam teater ini dengan membawa watak Badariah iaitu seorang wanita kampung yang sangat kuat melatah. Proses 'skrip reading' yang dijalankan ini adalah untuk memahami perjalanan sebenar kisah alang rentak seribu ini......
Watak Alang Khalid 
Bagi aku teater karya sasterawan negara Datuk Syed Alwi ini sangat memaparkan kehidupan sebenar orang Melayu kita baik dari segi budaya, dan bahasa. Teater Alang Rentak Seribu merupakan komedi yang dihasilkan dengan pengertiannya sendiri. Namun, teater ini bukan bicara komedi hanya untuk bergelak ketawa sebaliknya mengetengahkan nada dan bahasa berbicara Melayu dalam pengertian dan sudut yang berbeza. Ia menzahirkan pertembungan antara dua manusia Melayu iaitu dari kampung dan Bandar yang mempunyai perbezaan sikap dan pemikiran.

Poster Alang Rentak Seribu
Siapa kata orang kampung tidak cerdas dan ligat pemikirannya atau bersifat kekampungan? Watak Alang adalah seorang lelaki Melayu yang dibesarkan dalam suasana dekad-dekad awal selepas merdeka. Lelaki yang cukup sederhana penampilannya. Tetapi memiliki kebijaksanaan sendiri ketika berdepan dengan masyarakat sekeliling. Di dalam teater ini diwujudkan watak seorang guru iaitu Cikgu Mahazan. Watak cikgu Mahazan ini bagi aku ialah  signifikannya peranan guru  dalam masyarakat yang mana dia dihormati.
Babak Pak Mokhtar mengamuk
Teater ini berbicara dalam komedi yang mengambil nada kehidupan dan pergaulan masyarakat Melayu sebenarnya. Dialognya agak kasar dan mendalam namun unsur komedinya sangat menarik dan berkesan. Ia memperkatakan mengenai sesuatu yang rutin dan sebahagian daripada hidup harian mereka. Tutur bicaranya adalah kehidupan santai dalam hidup orang Melayu. Lantaran itu komedinya tidak mengejek atau bersifat terlalu sinikal. Komedinya adalah tutur Melayu, tetapi ia disampaikan dengan hemah yang tinggi. Petah bicaranya adalah hakikat bahawa dalam masyarakat yang kampungan dan tertutup daripada pengaruh luar, ia memiliki kebijaksanaan kerana lafaz kata-kata bukan mainan.
Allahyarham Datuk Syed Alwi
Naskhah ini juga mengajak khalayak untuk menyedari hakikat antara kehidupan susila di kampung dengan penerimaan idea moden dari bandar. Di kampung, hidupnya dilingkungi dengan peraturan tersendiri. Ia barangkali tidak praktikal dan dilihat sebagai karut. Tetapi pada masa yang sayama ia sebenarnya menuntut kesabaran dan pemahaman bahawa setiap nilai yang ditolak dan sesuatu idea baru tidak boleh dipaksa untuk dibuang dan diterima

Teater Alang Rentak Seribu yang bakal dipentaskan di Panggung Budaya UPSI pada bulan april kelak wajar ditonton oleh masyarakat Melayu yang suka bergaduh dan berkelahi sesama sendiri. Setiap pertelingkahan biarpun sengit dan menimbulkan pergaduhan akhirnya dapat diselesaikan. Ia menunjukkan bahawa dalam masyarakat itu ia tidak berupaya untuk berdepan dengan sesuatu masalah secara berterusan.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com