Friday, January 28, 2011

Antara Tak Mahu Dan Tak Boleh

Semalam, 27 Januari 2011 aku menaiki bas dari Tanjung Malim ke Ipoh untuk perjalanan pulang ke kampung kelahiranku Perlis indera kayangan. Perjalanan ke Ipoh lazimnya mengambil masa sehingga dua jam. Selalunya sepanjang perjalanan tersebut aku habiskan masa dengan tidur sahaja. Namun, semalam ada peristiwa yang menarik hatiku dan boleh dijadikan sebagai isu bahasa.

Adalah seorang makcik ini, meminta pemandu bas untuk memberhentikannya di balai polis Ipoh. Namun, bahasa yang digunakan amat kasar dan tidak sedap telinga mendengar. Pemandu bas pula enggan memberhentikan bas kerana telah diarahkan oleh pihak JPJ untuk tidak memberhentikan penumpang dimana-mana melainkan di stesen bas itu sendiri. Jadi, makcik yang mungkin dalam keadaan marah menelefon suaminya dan begini ayat perbualan dia dan suami

" Abah, orang tua ni tak mau berhenti kat balai polis. Jadi abah datang ambil la...."


Pemandu bas yang mendengar perbualan telefon makcik tadi yang sebenarnya agak kuat (tidak tahu samada sengaja dikuatkan suaranya) menjawab juga dengan nada kasar

" Makcik, bukan kami tak mau berhenti tapi tak boleh berhenti. Kalau kena denda Rm 300 makcik nak bayar? Memandai ja cakap tak mau berhenti. Mulut tu jagalah sikit."

Suasana di dalam bas pada ketika itu agak tegang dengan perbalahan diantara makcik dan pemandu bas tersebut. Penumpang lain kebanyakannya hanya mendiamkan diri termasuk diriku dan sangat berminat untuk melihat kesudahan perbalahan ini. Dan dengan nada kesat makcik itu berkata....

" Lepas ni....sumpah aku tak naik bas ni lagi !! "
" Makcik tak naik pun syarikat bas kami tak bankrup" Pemandu bas menjawab dengan disambut hilaian ketawa para penumpang lain.


Situasi ini bagi aku amatlah tidak baiknya. Kerana menunjukkan perbalahan sesama kaum dan agama. Bagi aku kedua-duanya salah. Makcik tersebut salah kerana amat pentingkan diri dalam hal ini. Tidak ada salahnya untuk meminta suaminya datang mengambil di stesen bas kerana jaraknya dari balai polis tersebut tidaklah jauh. Juga, cara makcik tersebut amatlah mengeruhkan keadaan bagaikan  menyalahkan peraturan yang telah ditetapkan. Pemandu bas itu juga salah walaupun dia hanya menurut arahan. Salahnya dia kerana tidak bersikap professional. Dia boleh menggunakan bahasa yang lebih sopan dan mungkin jika itu yang dilakukan emosi makcik tersebut tidaklah setegang itu. Terbukti di sini, rakyat Malaysia tidak ramai yang benar-benar menjaga kesopanan mereka.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com