Thursday, March 17, 2011

Mereka Cemerlang !!

Melihat tajuk entri aku pada kali ini, sudah pasti kalian menyangkakan aku akan menulis mengenai individu yang berjaya dalam kehidupan atau mencapai satu tahap yang cemerlang dalam kehidupan sehingga membuatkan aku menjadikan mereka idola. Sayangnya, entri kali ini bukan berkaitan perkara tersebut. Sebaliknya aku mahu kenalkan anda dengan dua sahabat aku yang aku anggap sebagai penutur bahasa Melayu yang sangat cermerlang.


Pertamanya, Kon Lee Pei. Seorang gadis berbangsa cina yang berasal dari Sarawak. Aku mengenali Pei sejak semester 1 lagi memandangkan dirinya seorang yang sangat ramah dan baik hati. Pei bagi aku, sangat fasih berbahasa Melayu dan perkataan-perkataan yang digunakannya ketika sesi perbentangan membuatkan aku malu kerana sebagai orang Melayu sendiri aku jarang menggunakan perkataan-perkataan sedemikian. Pei seringkali bertutur menggunakan bahasa Melayu tinggi ketika di dalam kelas. Jika didengar sekali lalu, loghat Pei sebagai seorang cina jarang kedengaran. Juga, Pei tidak sama sekali kekok bergaul dengan kaum yang berlainan dengannya. Apa yang menariknya tentang diri Pei ini, dia sentiasa berbaju kurung ke kelas. Jarang sekali aku melihat dia berpakaian moden atau berbaju kemeja ke kelas seperti rakan-rakan aku yang lain. Aku sangat hormatkan Pei kerana faktor berbahasanya yang sangat baik dan cara berkomunikasinya yang mengikut aturan bahasa dengan baik.


Sahabat aku yang seterusnya ialah Vivek. Vivek juga telah lama aku kenali semenjak kami di semester satu lagi. Vivek seorang sahabat berbangsa india yang berasal dari Pulau Pinang. Kebolehan beliau berbahasa Melayu juga boleh dianggap baik walaupun masih kedengaran telor indianya itu. Tetapi, untuk situasi-situasi tertentu, Vivek sangat pandai menggunakan kosa kata yang aku sendiri tidak terpikir untuk menggunakannya. Vivek juga bagi aku, sudah biasa bergaul dengan kaum yang berbeza menjadikannya lebih bersifat sejagat. Aku sangat gemar mendengar Vivek bercakap kerana setiap bait yang dilontarkannya disusunnya dengan baik dan dipastikan menepati hukum bahasa Melayu. Hal ini, sama sekali tidak pernah dibuat oleh bangsaku sendiri.

Mengenali dua sahabatku yang datang dari dua kaum berbeza serta latar belakang yang mungkin juga berbeza ini menjadikan aku mahu terus bersahabat dengan mereka. Aku mahu terus belajar dengan mereka dan mungkin lebih menghargai bahasaku sendiri. Kerana disini, aku mendapati bahawa bahasa yang aku pertuturkan seharian ini lebih dipandang tinggi oleh kaum lain berbanding penutur asli bahasa ini. Aku mahu mengubah hakikat ini  dan mahu cuba menggunakan bahasa Melayu tinggi dalam kehidupan seharian.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com