Wednesday, March 23, 2011

Cicit Mak Dara.......Bermulanya disini...........



Kebanyakan entri aku lebih bertumpukan kepada teater. Ya....kerana itu duniaku. Teater penguat semangat aku untuk terus berada di UPSI dan medan aku menunjukkan bakat dan meningkatkan keyakinan diri. Aku tubuhkan produksi teater di bawah Fakulti Bahasa Dan Komunikasi untuk adik-adikku merasakan keseronokan berteater dan adanya medan mereka untuk berkarya dan meningkatkan keyakinan diri. Sepanjang aku berada di UPSI, Fakulti Bahasa tidak pernah menghantar wakil ke Festival Teater dan ini bagiku amat memalukan kerana teater itu sendiri tergolong merupakan satu bahan karya sastera dan UPSI mempunyai ramai pensyarah yang berbakat dalam penulisan skrip drama. Menerusi teater dan drama sebenarnya bahasa mampu dimartabatkan.



Namun, tiada siapa yang sedar akan hakikat ini dan mahu mewujudkan kelab teater agar para pelajar boleh terus berkarya. Timbulnya nama Cicit Mak Dara sebenarnya bukanlah idea diriku tetapi hal ini keluar spontan daripada mulut sahabat aku Aidah, ketika aku ingin mencari nama untuk produksi ini. Mengikut idea asal aku, mahu sahaja aku namakan produksi ini Sanggar Mustika, kerana nampak lebih klassik dan melambangkan orang-orang bahasa. Namun, sahabatku menentang keras kerana terlalu sterotaip. Menjadi wakil Fakulti Bahasa tidak semestinya memerlukan kami menggunakan bahasa yang berbunga-bunga. Jadi, untuk lari daripada hakikat itu, aku mengikut sahaja cadangan Aidah dengan menamaka produksi ini Cicit Mak Dara. Rupanya, nama itu sememangnya memainkan peranan yang penting. Nama yang kami pilih ini rupanya mengundang minat ramai pihak untuk menyaksikan persembahan kami. Nama yang unik, mengundang ketawa kecil ketika menyebutnya melambangkan ahli-ahli produksi ini yang sentiasa ceria dan berkeyakinan.


Aku sudah semester enam dan aku di UPSI tidak lama lagi. Aku telah menyuarakan hasrat aku kepada Prof Mana Sikana dan Datuk Paduka Rosli akan niat aku untuk mengekalkan produksi ini di bawah kelolaan Fakulti Bahasa dan Persatuan Bahasa Melayu (PERBAYU) Alhamdulilah, mereka sangat bersetuju kerana sememangnya fakulti tidak pernah mempunyai kelab teater sendiri. Aku mahu setiap pertandingan teater atau sebarang persembahan teater yang diadakan fakulti aku mempunyai penglibatan. Dan aku juga tidak mahu nama Cicit Mak Dara berkubur sebaik sahaja aku dan para sahabatku keluar dari UPSI. Biarlah nama Cicit Mak Dara ini kekal sebagai salah satu produksi teater yang hebat di UPSI.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com