Thursday, March 17, 2011

Tajuk Akhbar Kini Makin Teruk.....


Memalukan !! Itu perkataan pertama yang keluar dari mulutku apabila melihat tajuk tajuk akhbar kini yang semakin memualkan. Akhbar Harian Metro contohnya seringkali menggunakan tajuk-tajuk yang amat memualkan. Kebanyakan tajuk muka hadapan akhbar tersebut ialah berita mengenai seks dan hubungan yang di luar tabi'e manusia. Apa motifnya disini? Perlukah akhbar ini mengeluarkan tajuk-tajuk berita sebegini untuk menarik minat pembaca? Bagi aku ini merupakan satu taktik murahan. Masyarakat sekarang bukan lagi bodoh dan terdesak untuk mendapatkan bahan bacaan. 

"Kontroversi seks, bogel", "Seks di bilik x-Ray", "Aksi romen suami isteri", "isteri Malaysia tidak puas seks" kedengaran seperti tajuk novel lucah namun hakikatnya inilah tajuk akhbar harian popular (bukan akhbar dua minggu sekali) di Malaysia sejak akhir-akhir ini. Ianya mungkin tidak memberi kesan signifikan kepada orang dewasa namun kepada kanak-kanak ia adalah sebaliknya. Cetusan minat pramatang ini membimbangkan apabila ianya di luar kawalan ibu bapa. Pepatah inggeris mengatakan, "curiosity kills the cat" yang bermaksud perasaan ingin tahu yang melampau pada sesuatu perkara mampu mengundang akibat yang tidak baik. Sebagai contoh ia boleh meningkatkan minat untuk permainan video haram dengan elemen lucah yang berleluasa di kalangan kanak-kanak sekolah rendah kerana ingin lebih memahami eleman 'seks' itu. 




Kita bersyukur jika seorang kanak-kanak itu menolak dari terlibat kerana didikan agama dan institusi keluarga yang baik. Namun kepada majoriti kanak-kanak yang kurang perhatian samada kerana ibu bapa yang terlalu sibuk bekerja atau masalah keluarga, aktiviti ingin tahu ini boleh berlanjutan kepada aktiviti sosial negatif seperti kes kanak-kanak sekolah rendah yang 'bermain-main' hubungan seks dengan rakan sebaya.





Media memainkan peranan besar dalam pembentukan sosiologi maka ia haruslah lebih sensitif dengan nilai-nilai yang disalurkan melaluinya. Kehadiran media dari segi asasnya ialah untuk menyebarkan berita dan mendidik masyarakat namun jika salah langkah media juga boleh menjadi pencetus nilai negatif. kepada generasi muda. Penggunaan tajuk-tajuk utama yang berbaur lucah mudah menarik perhatian pembeli untuk melariskan jualan namun janganlah kerana keuntungan tanggungjawab jangka panjang kepada masyarakat diabaikan.

Hadis Nabi SAW bahawa: "Sesungguhnya sopan santun dan keimanan adalah saling berkaitan, jika salah satunya dikeluarkan, yang satu lagi juga akan hilang serentak." (h.r Baihaqi)

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com