Saturday, March 19, 2011

Media Kita Tidak Pandai Berbahasa

Tajuk di atas kedengaran agak kontroversi. Tetapi itu yang berlaku di kalangan para penggiat hiburan di Malaysia. Sedar ataupun tidak golongan ini yang banyak mencampur-adukkan bahasa dan digunakan dalam pertuturan. Baik juruhebah radio atau pengacara televisyen. Masing-masing menggunakan bahasa yang boleh dianggap bahasa pasar dan hanya segelintir sahaja yang menggunakan bahasa yang benar-benar baik dan menepati hukum bahasa seperti Datuk Hasbullah Awang dan Ahmaf Fedtri Yahya. 


Selepas 54 tahun kita merdeka, masih ada dalam kalangan warga penyiar yang tidak dapat menguasai bahasa Melayu dengan baik. Kalau tidak masakan masih berlaku kesilapan bahasa dalam siaran radio dan televisyen, baik di stesen kerajaan mahupun di stesen swasta.

“Apa nama awak?”

“Panggilan dari siapa?”

“Selamat pagi kepada semua pendengar-pendengar xx.fm”

 “Terima kasih di atas sokongan dan kerjasama anda”

 “Bertemu berkembali di hari Rabu.”

“beberapa jalan-jalan lain masih lagi jem”

“kemalangan telah dialihkan!”



Itu antara kesilapan yang sering dilakukan oleh DJ dan penyampai radio. Banyak lagi kesilapan lain terutamanya kesilapan ejaan yang berlaku dalam siaran TV dan kesilapan dalam siaran iklan. Jika ditunjukkan satu persatu memang tidak muat dalam ruangan entri blog ini. Tetapi benarlah, tidak ada satu hari yang berlalu tanpa kesilapan dalam siaran radio dan televisyen. Aku juga mengenalpasti yang semua stesen radio di Malaysia banyak menyiarkan lagu-lagu Indonesia. Cuma radio RTM mengawal jumlah siaran lagu Indonesia, tetapi radio swasta tidak. Kalau kita dengar Hot.fm, setiap jam pasti ada dua atau tiga lagu Indonesia. Mungkin lebih. Siaran lagu Indonesia di ERA tidak sekerap Hot.fm tetapi lebih kerap daripada stesen radio RTM.

Apapun, ada artis Indonesia yang lebih dikenali dan diminati di Malaysia daripada di negara sendiri kerana radio kita membantu mempopularkan mereka. Mana tidaknya, setiap hari lagu mereka berkumandang di udara kita. Maka popularlah Kris Dayanti, Anang, Rossa, Agnes Monica, kumpulan Ungu, Dewa, Matta dan banyak lagi.

Mungkin lumrah orang kita. Lebih menyayangi yang dari luar daripada yang tempatan. Lebih meminati filem barat daripada filem Melayu. Lebih meminati lagu Inggeris daripada lagu Melayu. Dan lebih meminati “bakat” dari luar berbanding dalam Negara. Contoh model-model dalam iklan sabun mandi, iklan minuman ringan, iklan kereta dan bermacam-macam iklan. Malah iklan itu sendiri terbitan luar negara, cuma dialihsuarakan saja di Malaysia. Iklan-iklan dari luar inilah yang kerap kita tonton melalui televisyen di negara kita. Dan ini sedikit banyak menjejaskan penggunaan bahasa di negara kita. Mana tidaknya, jika terlalu banyak lagu Indonesia dimainkan, anak-anak yang mendengar di rumah juga boleh terikut-ikut dengan bahasa mereka. 



Tidak cukup dengan iklan terbitan luar negara, kita dilambakkan pula dengan program-program dari luar dalam saluran televisyen arus perdana. Sebut saja, semua ada. Dari Korea, China, Hong Kong, Jepun, Filipina, UK, Peranchs, Negara Latin Amerika dan yang paling banyak dari Amerika Syarikat dan Indonesia. Fakta yang menyedihkan, negara-negara tersebut termasuk Indonesia tidak menyiarkan drama atau filem dari Malaysia. Hanya Singapura dan Brunei Darussalam sahaja menyiarkan drama kita.

Yang merunsingkan kita ialah mesej yang dibawa oleh filem, drama dan sinetron ini. Tidak banyak mesej positif. Lihat saja jalan cerita sinetron Indonesia. Ceritanya lebih kurang saja. Cinta terhalang. Adegan lain yang biasa dalam sinetron Indonesia ialah hero atau heroin diusir keluar rumah, bertukar anak, buang anak, menyerahkan anak kepada keluarga angkat, bersekedudukan, hamil luar nikah dan adegan rumah dibakar atau terbakar. Fakta tak betul pun ada juga. Contohnya, wanita menjadi saksi nikah dan heroin bernikah berwalikan bapa angkatnya. Mazhab apa tu?? Audiens jadi keliru! Bagaimana pula dengan bahasa? Kucar kacir !! Sehinggakan ada bahasa yang diresap masuk ke dalam masyarakat seperti perkataan kangen, bangat dan sebagainya.

No comments:

Post a Comment

 

Blog Template by YummyLolly.com